Deritanya sakit barah hati

KUBANG PASU 27 Ogos - Ketika kebanyakan kanak-kanak ceria menanti ketibaan 1 Syawal bersama ibu bapa, lain pula ceritanya bagi seorang kanak-kanak yatim piatu dari Kampung Paya Nongmi, Changlun di sini yang menumpang kasih neneknya sebagai tempat bermanja dan bergantung hidup.

Nurin Natasha Razali, 11, kehilangan ibu tersayang, Nor Aslinda Hashim pada 2000 yang meninggal dunia akibat penyakit barah hati dan disusuli bapanya, Razali Abu Hassan dua tahun kemudian disebabkan penyakit sama.

Lebih malang bagi kanak-kanak itu apabila dia tur

ut disahkan menghidap penyakit berkenaan dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar setiap bulan untuk mendapatkan rawatan.

Selepas menjadi yatim piatu, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara di sini itu dijaga oleh datuk dan neneknya di kampung berkenaan.

Meskipun kasih sayang yang dicurahkan datuk dan neneknya tiada tolok bandingan, namun jauh di hati kecil Nurin Natasha tetap terdetik untuk merasai kehadiran ibu bapa di sisi ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menurut neneknya, Salmah Idrus, 55, dia memahami perasaan Nurin Natasha yang pernah bertanya untuk memanggilnya dengan panggilan ibu.

Justeru, katanya, dia dan suami, Abu Hassan Hussin, 61, cuba memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap Nurin Natasha supaya cucu mereka itu hidup gembira.

''Dalam keadaan serba kekurangan, kami berusaha menjadi 'ibu bapa' terbaik kepada Nurin Natasha kerana hanya kami tempat dia menumpang kasih,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum pada program singgah sahur di kampung itu di sini, hari ini.

Pada program tersebut, Mohd. Johari yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersahur dengan tiga lagi anak yatim yang kematian ibu iaitu Nor Suhaza Shaaban, 25, Nor Zulaikha, 20, dan Mohd. Zulaimi, 15, di rumah mereka yang terletak berdekatan dengan rumah Nurin Natasha.

Salmah memberitahu, sejak mendapatkan rawatan di HSB, penyakit Nurin Natasha beransur pulih, tetapi masih perlu ke hospital tersebut sebulan sekali untuk rawatan lanjut.

Katanya, pendapatan mereka kira-kira RM700 sebulan menerusi kerja suaminya yang menoreh getah milik orang dan ditambah dengan hasil jualan kuih yang diusahakannya menyebabkan agak sukar bagi keluarganya untuk hidup selesa seperti orang lain.

Dalam pada itu, Mohd. Johari memberitahu, beliau akan melihat keperluan Nurin Natasha dan tiga lagi adik-beradik yatim tersebut dari aspek pelajaran, keperluan asas dan pekerjaan.